8:32 PM

Budak kampung berjiwa besar

Sekali lagi, keperitan yang di alami oleh seseorang pada peringkat awal tidak menjadi penghalang kejayaan seseorang di masa hadapan. Berkat mengenali potensi yang dimiliki serta bekerja keras, sesiapa pun mampu mencapai kejayaan. Kali ini kita ikuti kisah seorang pengarah urusan sebuah syarikat motivasi korporat & usahawan yang juga berasal dari kampung yang sama dengan saya, Teluk Intan! ;)

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Pernah mengikat perut bagi menamatkan pengajian dalam bidang perundangan, Pathman Senathirajah kini merupakan seorang Pengarah Urusan yang berjaya.



PATHMAN kerap menemui peserta dari Asia Tengah dan Timur Tengah untuk berkongsi tip sukses dan modul profesional yang menyuntik keyakinan serta motivasi dalam bengkel dan seminar yang dikendalikannya.

SETELAH menyaksikan filem Dead Poets Society (1989), Pathman Senathirajah, 33, terus teringatkan guru bahasa Inggeris, Syril Teoh. Kata-kata hikmat guru itu terus diingati dan sampai saat ini, butiran kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga Pathman yang kini seorang Pengarah Urusan di V Global International Worldwide.


Sebagai seorang Pengarah Urusan yang termuda dalam Kumpulan Syarikat Qi, Pathman, berkata: "Cikgu Syril mengingatkan kami bahawa tiada siapa di dunia ini ditakdirkan hidup miskin, sekalipun lahir dalam keluarga yang tidak berkemampuan."


Namun ketika di bangku sekolah, ungkapan yang menerjah telinganya itu tidak memberi apa-apa makna kepada dirinya memandangkan nasib keluarganya tidak menentu selepas ayah tercinta meninggal dunia akibat serangan jantung. Ibunya pula terpaksa menyara keluarga dengan gaji kecil sebagai guru.


"Sewaktu bapa meninggal dunia, umur saya sekitar tiga tahun dan dua orang abang saya masih bersekolah. Biarpun menghadapi banyak kekurangan termasuk dari segi kewangan, ibu tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga termasuk mencurahkan sepenuh kasih sayang," ujar Pathman yang mempunyai abang bernama Kuna dan Sathi.


Lahir dan menghabiskan hampir separuh hidupnya di utara Malaysia, anak watan negeri Perak dari Teluk Intan ini bagaikan merindui kampung halaman yang mendidik dirinya agar menghargai erti hubungan kekeluargaan, persahabatan, semangat kejiranan dan ajaran moral yang tinggi nilainya.


"Dari kecil, kami diajar supaya menghargai setiap sen dan ringgit yang diperoleh dalam apa jua keadaan. Ibu melatih kami agar bersifat murah hati kepada mereka yang memerlukan," jelas Pathman.


Tanpa menghiraukan hala tuju masa depannya, kehidupan harian berlalu dengan aktiviti-aktiviti menyeronokkan seperti menunggang basikal, bermain bola sepak dan hoki, menangkap ikan hinggalah belajar memandu kereta. Kealpaan itu berterusan sehingga beliau berada di tingkatan enam. Saat itu, terdetik persoalan di dalam hatinya tentang apa yang ingin dilakukan di dalam hidupnya?. "Daripada belajar di tingkatan enam, saya meluahkan hasrat berhenti sekolah kepada ibu."


"Memandangkan saya pandai bercakap, pak cik saya mengesyorkan saya supaya belajar ilmu perundangan," ujar Pathman lagi ketika ditemui di sebuah rumah khas yang disediakan untuknya di Cyberview Lodge Resort, Cyberjaya.


Tanpa berfikir panjang, budak kampung ini membawa diri ke kota besar Kuala Lumpur pada lewat tahun 1980-an. Beliau mendaftar mengikuti kursus A-level di Kolej Brickfields dan pada masa yang sama, bekerja secara sambilan.


Tanpa berahsia, Pathman mengaku pernah bekerja sebagai pelayan restoran, pengawal

keselamatan, pemandu dan menjadi orang tengah dalam urusan perniagaan kecil-kecilan. Disebabkan kesempitan wang, kerap kali beliau memakan 'roti canai banjir' yang berharga kurang RM1 sekeping.


Melihat kesusahan hidup yang dihadapi sejak dahulu hingga sekarang, Pathman akur bahawa hanya wang yang dapat membantu dan menyelesaikan masalahnya. Bagi meringankan beban kewangan, Pathman bertungkus-lumus belajar sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekali gus layak menerima biasiswa.


Pada tahun 1996, cita-cita mendapat ijazah perundangan dari Universiti London termakbul. Bagaimanapun, Pathman enggan menduduki peperiksaan CLP (Certificate of Legal Practice) kerana kecewa dengan bayaran gaji yang kecil berbanding dengan waktu kerja. Pada saat itu, beliau mengimbau kembali kata-kata cikgu Syril. "Mengapa tidak saya bermimpikan kekayaan dan sukses?"


Pathman membayangkan profil kejayaan yang dikecapi oleh jutawan seperti mendiang Tan Sri Eric Chia Eng Hock, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Lim Goh Tong yang berjaya tanpa pendidikan tinggi.


Tanpa melengahkan masa dan menunggu peluang keemasan datang bergolek, Pathman meneroka pasaran yang ada. Pencariannya terhenti sebaik Kuna memperkenalkan perniagaan membina rangkaian klien melalui platform E-Commerce.


Katanya, bidang ini tidak meletakkan sebarang syarat atau kriteria untuk penyertaan dan yang paling penting, ia membuka ruang untuk membantu orang lain. Ini adalah salah satu amalan yang disemaikan oleh ibu tercinta sejak dahulu, Pathmavathi Kandiah, 74.


Dengan kemahiran pembangunan, pengurusan, pemasaran dan melatih kakitangan melalui satu platform tanpa sempadan, Pathman mula mendaki tangga kejayaan di bawah tunjuk ajar mentor, Datuk Vijay Eswaran. Umpama berhadapan dengan perlawanan sengit di medan perang, beliau bukan sahaja mengubah pandangan orang di sekeliling tetapi dirinya sendiri.


V Global International Worldwide yang ditubuhkan pada 1998 dibangunkan dan diperluaskan ke serata dunia dengan menjunjung prinsip Your Success, Our Passion. Dari Asia hingga ke Barat, Pathman giat merantau berjumpa dengan mereka yang beraspirasi menjadi usahawan, ahli korporat dan para pemimpin yang berjaya.


Sejak beberapa tahun lalu, Pathman juga mendekati golongan kanak-kanak dengan latihan pembangunan khas. Merentasi global, budaya dan bahasa, jadual ceramahnya sentiasa padat dengan pengembaraan berturut-turut selama lapan bulan dalam setahun.


Setelah melebarkan sayap ke negara India, Kanada dan Filipina, Pathman hari ini mempunyai hampir 90 orang kakitangan di bawahnya. Baru dua tahun menyandang jawatan Pengarah Urusan, Pathman sudah menyenaraikan misi untuk meletakkan syarikatnya di tahap tertinggi agar dijadikan aras rujukan kepada syarikat lain.


"Konsepnya sama seperti Microsoft yang tersohor dalam bidang teknologi maklumat," ujarnya yang berpuas hati kerana berjaya menceburi sebuah industri bernilai AS$100 bilion (RM352 bilion) di peringkat global.


Di Cyberview Lodge Resort, beliau menemui para peserta dari Asia Tengah dan Timur Tengah untuk berkongsi tip sukses dan modul profesional yang menyuntik keyakinan serta motivasi yang diperlukan. Seterusnya pada bulan November ini, Pathman akan terbang ke Uganda.


Dengan pendapatan yang berlipat ganda dan pengaruh yang kuat, Pathman tetap tampil sederhana. Mengenakan kemeja-t putih berjalur dan seluar putih yang kemas, Pathman berbual secara bersahaja sepanjang sesi temu bual ini.


Masih bujang dan menantikan pasangan hidup yang mampu memahami kerjayanya, Pathman menggambarkan dirinya sebagai seorang yang vokal, spontan dan sukar diramal. Di samping mendapat sokongan padu daripada darah dagingnya, 'keluarga besar' di pejabat turut menyokong beliau merentasi segala dugaan yang menanti.


Terbaru, Pathman bercadang untuk menulis buku dan menerbitkan filem cereka bertajuk Teluk Intan.


"Di bawah V Studio, satu lagi impian kami akan direalisasikan. Perjalanannya masih jauh tetapi sudah bergerak," ungkapnya.



Berapa banyak wang yang anda boleh perolehi sekiranya anda ketahui rahsia kelapan-lapan jutawan ini?
+Dato’ Dr Fadzilah Kamsah, mentor kepada mentor!
+Azizi Ali, Jurulatih jutawan
+Chef Li (Dato' Dr Rusly), Jutawan Senyap
+Dato’ Dr Azman Ching (Jutawan MLM)
+Billi Lim, Jutawan Berani Gagal
+Dato’ Hussamuddin, Pengasas Karangkraf
+Abang Abu, Usahawan/Motivator/Jutawan
+Irfan Khairi, Jutawan Internet

6:43 AM

Sehari 30 gantang cendol

Kisah usahawan kali ini dipetik dari akhbar kosmo online perihal seorang lelaki yang berhenti sekolah selepas SRP dan bekerja sebagai buruh kampung, buruh binaan di Singapura, pulang ke kampung semula dan akhirnya menjadi seorang usahawn cendol yang berjaya.



MD. HADI MD. ZAIN, dibantu anaknya Mohd Fariezal (kanan) memasukkan tepung beras yang dibancuh dengan air daun pandan ke dalam acuan cendol.

SUMBANGAN RM1,000 daripada seorang ayah untuk dijadikan modal permulaan kira-kira 17 tahun lepas berjaya mengubah kehidupan pengusaha cendol Md. Abd Hadi Md. Zain, 40, atau lebih dikenali Mat Cendol.

Pengalaman selama tiga tahun bekerja di kilang membuat cendol ibu saudaranya sebelum itu, telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengubah kehidupannya sekeluarga.


Pada awal pembabitan di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, Kelantan dia hanya menggunakan motosikal untuk membawa cendol ke pasar tetapi sekarang dia mampu memiliki sebuah van dan sebuah rumah binaan konkrit yang dibina sembilan tahun lepas di atas tanah milik keluarga bernilai kira-kira RM80,000.


"Semuanya itu merupakan hadiah kepada sebuah pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai harganya," katanya dengan nada pilu ketika memulakan cerita.


Semuanya bermula apabila beliau menamatkan persekolahan setakat Tingkatan Tiga walaupun memperoleh keputusan A dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1984.


"Desakan rakan-rakan sebaya ketika itu untuk tidak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu betul-betul mempengaruhi," katanya lagi.


Bermula dari situlah dia menempuhi kehidupan remajanya yang penuh dengan keseronokan dan tanpa hala tuju.


"Masa tu, hendak suka semata-mata. Gi situ, gi sana, buah rambutan orang, hok kita. Ayah suruh mengaji sekolah supaya jadi orang, tapi kita tak endah," katanya mengimbas kenangan lama.


Berbekalkan tulang empat kerat yang masih rapuh dia bersama rakan-rakan melakukan pelbagai kerja kampung bagi meneruskan kehidupan remaja walaupun pendapatan tidak seberapa.


Ketika berusia 17 tahun dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita pilihannya, Rokiah Mat Isa yang sebaya dengannya.


Selepas berkahwin dia dan isteri menetap di Kuala Krai, dengan melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung kehidupan sekeluarga.


"Masa tu memang susah, kerja hanya seada-adanya saja, nak kerja lain sijil tidak ada, sekolah pun tok habis," katanya penuh dengan kekesalan.


Bagi menyara kehidupannya sekeluarga dia merantau ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh binaan selama hampir setahun.


Walaupun pendapatan sebagai buruh binaan agak lumayan namun warna-warna kehidupan kampungnya seolah-olah telah sinonim dalam jiwanya.


Sekembalinya ke kampung ketika berumur 19 tahun, dia bekerja di kilang cendol milik ibu saudaranya di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas. Di sinilah bermulanya penglibatan beliau secara langsung dalam industri membuat cendol.


Walaupun tidak memiliki segulung ijazah, dia bertekad untuk menempa nama setanding insan lain bagi menebus kesilapan masa lampaunya.


"Setiap pekerjaan yang dilakukan bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil, itulah prinsip yang dipegang," kata ayah kepada empat orang anak itu.


"Tuhan telah memakbulkan permintaan saya, kita tidak sunyi daripada membuat kesilapan, cuma akal sahaja yang mampu memperbetulkannya agar ia tidak berulang."


Kini beliau mampu tersenyum daripada hasil titik peluh yang dicurahkan selama ini kerana cendolnya mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat.


Setiap hari dia menghasilkan kira-kira 30 gantang cendol untuk dibekalkan kepada peraih-peraih pada harga RM7 untuk satu gantang, malah permintaannya akan meningkat sekali ganda pada bulan Ramadhan.


Kepahitan hidup yang dirasai terubat apabila melihat dua daripada empat anaknya berumur antara 8 hingga 22 tahun berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.



12:09 AM

Tidak ada rugi

Ini pula kisah usahawan internet yang telah berjaya menjana pendapatan melalui internet dan melakukannya secara full-time di rumah. Saya juga ada membeli ebook beliau yang bertajuk Rahsia Zango. Yang mana ebook ini menceritakan bagaimana kita boleh buat duit melalui satu program pay per install Zango Cash. Ikuti kisah beliau di akhbar Kosmo online.

Pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar mampu memperoleh pendapatan lima angka setiap bulan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman-laman webnya.


HANYA menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog, Samsul Zamzuri mampu memperoleh pendapatan lima angka sebulan.

SELAIN daripada perniagaan Internet, seseorang juga boleh memperoleh pendapatan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog mereka.

Menarik bukan? Anda hanya menulis atau mengemas kini laman web atau blog anda, dan iklan yang masuk memberikan anda pulangan yang besar.

Itulah yang telah terjadi kepada seorang pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar yang kini hanya bekerja di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor. Kerjaya sebagai juruaudit dalaman ditinggalkan Samsul Zamzuri, 33, sejak tahun 2005 setelah dua tahun membangunkan laman web dan blog.

"Saya mengambil keputusan itu setelah melihat ia mampu menjana pendapatan empat kali ganda lebih besar daripada apa yang saya lakukan pada masa itu.

"Kini, setiap bulan, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka," kata Samsul yang merupakan graduan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

"Dan saya percaya, bukan setakat puluhan ribu, bahkan dengan pekerjaan ini mampu menjadikan seseorang itu jutawan. Di Malaysia, barangkali belum ada sesiapa yang bergelar jutawan hanya dengan iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog.

"Tapi di luar negara, saya yakin ada. Yalah, kalau pendapatan sehari mereka mampu mencecah AS$5,000 dolar (RM15,950) masakan tidak boleh jadi jutawan," ujarnya yang mengusahakan laman web, portal, direktori web dan blog. Antaranya ialah www.osx-e.com dan blog webmaster Malaysia www.szab.net/blog/.

Menurut Samsul, pengiraan pendapatan menerusi laman web atau blog ialah bergantung kepada berapa banyak pengguna yang mengklik iklan tersebut dan bagi iklan banner pula berapa kali ia muncul berdasarkan lawatan pengguna yang masuk ke dalam laman webnya.

"Sebagai contoh, bagi iklan klik, satu klik iklan itu sahaja boleh bernilai serendah 3 sen Amerika sehingga menjangkau AS$80 dolar (RM255), setakat yang pernah saya ketahui. Nilainya berbeza mengikut iklan. Saya kebiasaannya mendapat antara 4 hingga 5 dolar (RM16) untuk satu iklan yang diklik pengguna.

"Bagi iklan banner pula, 1,000 kemunculan menyamai 8 dolar (RM25)," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai prosedur lazim yang dilalui untuk mendapatkan iklan, pengusaha laman web atau blog perlu memohon kemasukan iklan daripada syarikat perantara pengiklanan seperti Google Adsense menerusi laman web Google atau ValueClick Media.

Setelah mengisi borang permohonan yang berkehendakkan butiran mengenai laman web diisi, laman web berkenaan akan diperiksa dan diuji sama ada layak atau tidak untuk dimasuki iklan.

Pendapatan boleh diterima dengan beberapa cara antaranya kiriman cek atau sistem western union yang ditawarkan perkhidmatannya oleh bank dan pihak tertentu seperti bank CIMB, RHB dan pejabat pos.

Samsul turut menerangkan, selain daripada mendapat iklan secara perantaraan, ada juga iklan yang masuk ke dalam laman webnya secara terus. Ini biasanya melibatkan pengiklan dalam negara.

"Ia dilakukan dengan cara saya mengiklankan dalam laman web saya pelawaan untuk orang ramai atau pengiklan yang berminat untuk mengiklankan produk mereka di laman web atau blog saya," katanya.

Kini, masa Samsul banyak dihabiskan di rumah. Katanya, boleh dikatakan komputer di rumahnya terbuka 24 jam.

"Malam bila hendak tidur sahaja baru tutup," katanya yang sedang menunggu masa untuk mengambil anaknya di sekolah pada hari itu.

Tambah Samsul: "Apa yang boleh saya katakan, tidak ada ruginya melakukan kerja ini. Dengan modal yang terlalu sedikit, kita tidak akan rugi. Bahkan, margin keuntungan kita (perbezaan antara modal dan keuntungan) boleh jadi lebih tinggi daripada syarikat-syarikat besar.

"Apapun, nasihat saya sebelum menjadikannya kerjaya yang serius, lakukannya sebagai hobi kerana nasib juga memainkan peranan. Bukan semua laman web mudah melepasi ujian kemasukan iklan." - ADHAM SHADAN




7:37 PM

Dari dekan ke PRO, kini usahawan

Assalamualaikum... wah sudah lama saya tidak update blog ini. Sudah lebih 3 bulan. Apa khabar usahawan2 dan bakal usahawan di luar sana? Ok lah hari ini saya nak kongsi dengan anda satu lagi kisah usahawan yang saya petik dari akhbar utusan online. Ia mengisahkan seorang wanita yang pada mulanya menjawat jawatan sebagai dekan di salah sebuah IPTA yang akhirnya menjadi usahawan dalam bidang motivasi.

Selamat membaca!


Oleh Roslah Othman

KEHIDUPAN yang kita lalui hanya boleh diubah jika kita boleh mengubah fikiran atau sikap kita sendiri. Apa yang menghalang kita dari melakukan perubahan dan kemajuan adalah kepercayaan yang terhad dan ketakutan yang ada di dalam diri kita sendiri.

Begitulah antara mesej Pengarah Urusan Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd., Shahreen Kamaluddin yang dapat penulis titip pada pertemuan dengan beliau di pejabatnya di Desa Sri Hartamas, Selangor, baru-baru ini.

Sepanjang perbualan hampir dua jam bersama wanita berkulit kuning langsat ini, tidak terasa begitu pantasnya masa berlalu.


Masakan tidak kerana apa yang dibualkan penuh dengan kata-kata perangsang dan motivasi sekali gus membenarkan kata-katanya: "Motivasi diri itu penting jika seseorang itu inginkan kesempurnaan."

Kata-kata perangsang itu bertujuan memberi iktibar kepada individu lain bahawa untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan adalah dengan membina sikap positif di dalam diri.

Bukan bermaksud menunjukkan pandai, namun apa yang dinyatakan itu berdasarkan kepada pengalaman beliau sendiri yang pernah melalui pahit manis sebelum berada pada tahap sekarang.

Berbekalkan keyakinan dan kesungguhan sehingga mampu melakukan sesuatu atas keupayaan yang diperoleh, mungkin beliau sudah boleh menarik nafas lega.

Beliau yang pada awalnya memulakan perniagaan dalam bidang perhubungan awam sekitar pertengahan 80-an itu, mula mengembangkan perniagaan kepada bidang motivasi.

Sambil mengakui apa yang dicapai hari ini dipengaruhi dengan sikap positif dan kepercayaan dirinya yang disifatkan sebagai law of attraction tidak menafikan dengan memahami siapa diri kita yang sebenar ia adalah kunci untuk mengubah hidup seseorang.

Beliau berkata, fikiran dan kepercayaan lama seseorang hanya akan mewujudkan pengalaman sekarang, sementara fikiran seseorang sekarang akan mencipta masa depan.

"Hidup kita sebenarnya dicipta oleh tiga perkara iaitu fikiran, kepercayaan dan sikap kita sendiri, dialog dengan diri sendiri dan keputusan yang kita ambil setiap hari.

"Jika kita bertukar fikiran, percakapan dan sikap pada hari ini, kita boleh menukar hidup kita,'' ujarnya sambil menegaskan kejayaan sering datang kepada individu yang mempunyai kesedaran positif, manakala kegagalan datang kepada mereka yang mempunyai kesedaran sebaliknya.

Shareen mengakui dalam memahami bagaimana beliau berfungsi sebagai manusia, ketika itulah beliau sedar betapa hebatnya ciptaan Allah Taala.

"Dia menjadikan kita sempurna dan berkuasa. Salah satu anugerah paling hebat yang diberikan-Nya ialah kebebasan untuk kita memilih apa yang diinginkan. Saya amat kagum dengan kuasa 'fikiran','' ujarnya lagi sambil mengakui pengalaman lalu banyak membentuk dirinya menjadi lebih baik.

Antara pengalaman yang hampir mematahkan semangat Shahreen apabila beliau diberhentikan kerja sebagai Pengurus Perhubungan Awam (PRO) Kumpulan di Malaysian Mining Corporation pada 1986, akibat kesan inflasi yang melanda negara ketika itu.

Bagaimanapun pengalaman itu dijadikan pemangkin untuknya terus bangkit sehingga berjaya menubuhkan syarikat perundingan perhubungan awam dan perunding motivasi miliknya sendiri.

Memulakan operasi secara kecil-kecilan, menjadikan wanita ini lebih tabah dalam usaha berhadapan dengan pelanggan terutama melibatkan syarikat besar.

Kesedaran

Pada awal penubuhan Shahreen Corporate Communications, beliau hanya berbekalkan harapan dan sokongan daripada majikan lamanya ketika itu.

Bermula dari situ, beliau mendapat kepercayaan daripada syarikat besar termasuk Maybank sekitar pertengahan 80-an.

Berbekalkan pengalaman dan pendidikan secara teori yang diperoleh, beliau yang juga lulusan Diploma Pendidikan Teaching English Second Language (TESL) dari Universiti Malaya bagaimanapun menganggap semuanya itu sebagai satu cabaran.

Ibu tiga anak ini juga adalah seorang tokoh akademik dan pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Sekolah Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menjadi Pengurus Kumpulan Perhubungan Awam di Shell.

"Sudah pasti ketika itu saya rasa sedikit tertekan. Selepas berjaya menjawat jawatan tinggi hasil kerja keras selama ini, akhirnya saya terpaksa melepaskannya begitu saja. Namun ketika itu saya tidak yakin boleh melakukannya.

"Mana mungkin saya membuka perniagaan sendiri? Apa yang tergambar pada fikiran hanyalah mencari pekerjaan di syarikat lain saja,'' imbas Shahreen yang sebelum ini tidak langsung berminat dalam dunia perniagaan.

Bermula dari situ, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dengan mempelbagaikan lagi cabang perniagaan termasuk mula memberi perhatian kepada usaha memotivasikan masyarakat terutama di kalangan kakitangan di sektor awam dan swasta.

Dengan penubuhan Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd., banyak program motivasi telah dianjurkan.

Beliau yang juga bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif di pusat motivasi itu mengakui banyak maklum balas yang diterima mengenai usaha yang dijalankan. Pemerhatian awal mendapati, keadaan itu disebabkan kurangnya keyakinan dalam diri seseorang.

Berdasarkan pengalaman itulah juga, Shahreen mendapat dorongan untuk menulis buku motivasinya yang pertama, You Are What You Believe. Buku itu diterbitkan pada 1992 dan mencatatkan jualan terbaik. Berikutan sambutan menggalakkan itu juga turut mendorong beliau menulis buku kedua, Know Yourself-The Truth Will Set You Free. Buku ketiganya, Now is All You've Got bakal menyusul tidak lama lagi.

"Setiap kejayaan sebenarnya bergantung kepada kesedaran dalam diri bahawa setiap daripada kita mempunyai bakat dan kebolehan sendiri.

"Tiada sesiapapun yang boleh merampas kemahiran itu dan paling penting sikap percaya kepada diri sendiri dan tidak harus bergantung kepada orang lain,'' tegasnya.

Melihat wanita ini yang masih cantik dan bertenaga, pasti sesiapapun tidak percaya usianya kini sudah mencecah 62 tahun.

Mencungkil rahsia kejelitaannya, anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik ini mengakui, ia banyak dipengaruhi sikap dan pemikiran positif yang dipraktikkan selama ini.

"Kebahagiaan dan kesihatan yang baik hanya muncul jika kita sentiasa memikirkan perkara-perkara dengan positif. Usia bukan satu penghalang kepada saya untuk melakukan sesuatu sama seperti orang lain,'' ujarnya sambil mengakui memang benar seseorang itu tidak boleh mengawal apa yang akan berlaku tetapi paling penting bagaimana seseorang itu bertindak balas terhadap apa juga perkara yang dihadapi.

Bagi menguasai semua kebolehan ini, seseorang itu katanya perlu mengenali diri sendiri dan menyedari bahagian kitalah yang menentukan corak kehidupan yang diinginkan, sama ada baik atau buruk.

Malah beliau juga percaya setiap yang berlaku dalam hidup seseorang itu juga bergantung kepada kualiti dan tahap pemikiran masing-masing.