3:36 AM

Ubah Imej Bas Ekspres

Gelaran artis tidak pernah menjadi jalan mudah untuknya berjaya. Bertatih daripada bawah, Sani Ekspres kini semakin dihormati.


WAN MOHD. SANI bercita-cita mahu menjadi seorang usahawan dan ahli korporat yang disegani.


SANI Ekspres mungkin asing bagi sebahagian penduduk di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Namun, di Pantai Timur, syarikat tersebut kini merupakan antara syarikat bas yang menjadi pilihan penumpang kerana perkhidmatan dan keselesaan yang ditawarkan.

Sani Ekspres kini berbangga apabila mampu berdiri sebaris dengan beberapa syarikat bas ekspres gergasi lain seperti Konsortium Mutiara dan Transnasional yang telah menguasai sebahagian besar pasaran di Pantai Timur terutamanya.


Kejayaan syarikat tersebut yang semakin menambat hati penumpang adalah hasil gigih seorang lelaki yang suatu ketika dulu cukup dikenali ramai.

Pernah bergelar pelakon dan penyanyi, tetapi lelaki ini akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan dunia glamor. Membuang jauh mikrofon atau kamera, lelaki ini mendekati stereng bas ekspres.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wan Mohd. Sani atau lebih dikenali sebagai Sani, memberitahu, keputusannya meninggalkan dunia hiburan tidak pernah disesali.
Baginya, itu merupakan titik perubahan dalam hidupnya menjadi salah seorang usahawan dan ahli korporat yang semakin disegani ramai seterusnya menggapai impian menjadi tokoh korporat.


Sani yang sejak sekian lama menghilangkan diri daripada bidang seni, akhirnya muncul mempertaruhkan keberaniannya untuk berniaga.

Memulakan operasi pada Januari 2006 dengan hanya menggunakan enam buah bas, Sani Ekspres mula memasuki pasaran Pantai Timur untuk laluan Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu sahaja.

"Saya selalu menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebelum ini untuk pulang ke kampung halaman saya di Terengganu.

"Daripada situ saya melihat, sistem pengangkutan bas ekspres di negeri tersebut tidak sempurna menyebabkan saya berazam untuk mengubah imej tersebut," katanya.

Tambah Sani, di Sani Ekspres perkhidmatan yang diberikan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. "Kami mahu penumpang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan," katanya.
Lantaran itulah, belum pun setahun usia perkhidmatan Sani Ekspres di Kuala Terengganu, mereka terus mengorak langkah dengan menambah laluan di antara Kota Bharu-Kuala Lumpur pada penghujung tahun 2006.


Percubaan tersebut dilihat sebagai suatu usaha yang berani kerana beberapa syarikat gergasi bas ekspres berpengkalan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Pada mulanya kami juga risau dengan saingan yang sangat kuat tapi kita yakin perkhidmatan yang kita berikan mampu menandingi syarikat-syarikat lain.

"Kini bas kami antara yang menjadi pilihan di Kelantan. Bukan sahaja pada hujung minggu, malah pada hari biasa pun tiket kami sold out," ujarnya.

Namun, kata Sani, perjalanannya tidaklah semudah yang disangkakan. mengapa?
Usahanya hampir berkubur pada awal penubuhan Sani United Sdn. Bhd. (SUSB) apabila dua rakan kongsinya menarik diri.


"Selepas mereka berdua menarik diri, saya terpaksa meneruskan usaha sendirian bagi memastikan impian saya sejak sekian lama.

"Cabaran untuk mendapatkan permit dan pinjaman juga hampir mematahkan usaha saya, namun berkat kesabaran dan usaha yang gigih, SUSB akhirnya berjaya sehingga ke hari ini," ujarnya.

Kini, Sani tidak lagi menoleh kebelakang. Setiap peluang yang tersedia dimanfaatkan sebaik mungkin demi merealisasikan visi syarikat menjadi sebuah syarikat bas yang berjenama dan menjadi pilihan utama pelanggan.

Terbaru, SUSB baru sahaja menandatangani kontrak pem belian 20 buah bas ekspres dua tingkat dari Sweden untuk meningkatkan perkhidmatan dan menambah laluan.
Sani Ekspres bakal melancarkan perkhidmatannya di laluan ke utara dengan melancarkan perjalanan dari Kuala Lumpur-Alor Star dan Alor Star-Kuala Lumpur pada tahun ini.


"Ada yang kata kami kena beringat-ingat kerana biasanya kalau cepat naik, mungkin akan cepat jatuh tapi bagi saya selagi kita pegang prinsip bekerja dengan betul kita pasti akan berjaya," ujarnya. - KHAIRI MOHAMAD


8:59 AM

NadiBiz: Sidi Oraza puas hati bantu petani

Bekas pengarah, pelakon tinggal dunia glamor mulakan perniaggan baja kimia, organik
PENUH RANJAU: Sidi berbangga dengan produk keluaran syarikatnya।
BERBEKALKAN modal RM6,000 pemberian ibunya, Allahyarhamah Syarifah Zarojarn Syed Azgkhar hasil penjualan rumah mereka, bekas pengarah dan pelakon terkenal sekitar 1990-an, Sidi Oraza memulakan perniagaan mengeluarkan dan memasarkan baja kimia dan organik।

Perniagaan yang dimulakan Sidi atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rastan, 43, menerusi syarikat yang ditubuhkannya sejak 10 tahun lalu, iaitu Diversatech (M) Sdn Bhd, terus berkembang dengan pasaran bukan saja di Malaysia malah luar negara seperti Indonesia dan di Asia बारात

Namun, beliau yang memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Diversatech mengakui terpaksa melalui pelbagai ranjau sebelum mengecapi apa yang ada sekarang, terutama ketika kegawatan ekonomi sekitar pertengahan 1990-an। Bagaimanapun, berpegang kepada prinsip 'usaha adalah tangga kejayaan' dan sentiasa ingat kepada Allah membolehkan beliau mengharungi semua ranjau itu।

KERJASAMA: Sidi bersama pegawai syarikatnya (dari kiri) Fahmy Mustafa, Najmi Yani Ahmad dan Ahmad Lazim berbincang bagi kemajuan Diversatech.

Sidi berkata, idea untuk beliau menceburi bidang perniagaan tercetus selepas pulang dari China। "Tujuan ke China untuk belajar berniaga। Tetapi saya tidak dapat ilmu berniaga, cuma dapat ilmu macam mana rakyat negara itu boleh berjaya dalam perniagaan।

"Antaranya ialah mereka makan, jalan dan berfikir dengan cepat, justeru apa saja boleh jadi। Malah hasil kerajinan dan kegigihan, Tembok Besar Cina dapat mereka bina. "Kegawatan ekonomi sekitar 1997 dan 1998 juga benar-benar menguji kekuatan saya. Ketika itu saya sudah tidak berlakon, bayangkan daripada hidup mewah dengan kereta besar, saya terpaksa berjalan kaki atau menaiki kenderaan awam.


TEKUN: Seorang pekerja sedang melakukan kerja pembungkusan baja di kilang Diversatech di Semenyih.
"Pernah saya hanya ada RM1 dalam poket, saya terpaksa memilih sama ada mahu beli makanan atau naik bas pulang ke rumah di Ampang Jaya dari Zoo Negara। Saya ambil keputusan untuk jalan kaki bagi menjimatkan duit untuk makan.

"Turun naik kenderaan awam bersama isteri dan anak yang masih kecil juga adalah perkara biasa sehingga apabila terjumpa peminat dan mereka bertanyakan mengapa saya menaiki LRT, saya beritahu yang saya sedang membuat kajian untuk filem baru, padahal ketika itu saya tiada kereta," katanya sambil ketawa.

Katanya, dorongan abangnya, Prof Madya Dr Syed Omar yang juga pakar dalam bidang pertanian membuka telah laluan untuk menceburi bidang pengilangan dan pemasaran baja। "Nak cerita betapa susahnya masa mula-mula membuka kilang baja ini, saya dan pasukan kerja menjual baja, tidur di kilang, buat promosi kepada petani। Dari awal hingga ke akhir semua buat sendiri। Alhamdulillah, hasil kerja keras pasukan kerja syarikat ini berbaloi," katanya.

Beliau turut melahirkan kesyukuran mempunyai pasukan kerja yang rajin, tekun dan setia dengan syarikatnya sejak mula ditubuhkan. "Memang tidak dinafikan setiap perniagaan pasti banyak ujian yang mendatang. Rujukan saya hanya kepada Allah. Setiap kali ditimpa masalah, saya akan solat hajat dua rakaat, Insya Allah, masalah yang dihadapi dapat diselesaikan," katanya.

Bermula dengan satu produk baja dedaun dikenali sebagai Vita Grow Plus, kini Diversatech yang mempunyai kilang untuk memproses dan mengeluarkan baja di Semenyih sudah mengeluar dan memasarkan enam produk.

Malah, syarikat itu turut menubuhkan tiga anak syarikat pemasaran iaitu Peladang Tech (M) Sdn Bhd, Perintis Pelangi dan SPPM Diversa Sdn Bhd. Diversatech turut diberikan pelesenan ekslusif menghasilkan dan memasarkan dua produk pertanian hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia iaitu Vita Grow dan Zappa. Menerusi pelesenan itu, Dr Syed Omar dan Prof Madya Dr Ahmad Husni Mohd Haniff, iaitu penyelidik produk berkenaan dilantik sebagai penasihat teknikal, selain memegang ekuiti dalam syarikat berkenaan.

Enam produk syarikat itu ialah Zappa Plus, bahan rawatan benih padi yang dirumus bagi menggalakkan kecergasan anak padi dan bertindak sebagai perisai terhadap serangan kulat serta penyakit. Baja organik Jitu pula dihasilkan bagi memperbaiki kesuburan dan struktur tanah, manakala baja Dammar bagi memberi ketahanan pada pokok padi daripada serangan siput gondang mas.

Baja padi NPK, Mampan pula mampu membantu tanaman mendapat hasil yang maksimum dan baja Robust berfungsi meningkatkan kekebalan pokok secara semula jadi daripada serangan kulat seperti hawar seludang serta karah. Produk baja Ajib yang dihasilkan menerusi teknologi dari Jerman pula mempunyai enzim aktif dan mikro nutrien lengkap dalam bentuk terlarut, yang diperbuat khusus untuk menampung kekurangan dan mencapai keseimbangan zat makanan dalam tanah tropika untuk tanaman kelapa sawit.

Sidi berkata, beliau menerima tawaran menjual syarikatnya sejak dari tahun pertama membuka kilang baja lagi, tetapi menolaknya kerana tujuannya bukan untuk meraih keuntungan mudah. "Ketika itu, kilang kami masih menggunakan tangan membancuh baja, tanpa sebarang peralatan moden. Kalau gelap mata, memang lama sudah menerima tawaran itu. Tetapi bagi saya menceburi bidang perniagaan bukan hanya memburu keuntungan.

"Saya berniaga bukan untuk diri sendiri tetapi untuk beri balik apa yang kami dapat kepada masyarakat terutama golongan sasar iaitu petani dan peladang," katanya yang dikurniakan empat cahaya mata berusia antara dua hingga 12 tahun hasil perkahwinan dengan bekas pelakon drama, Tengku Ismawati Badrulzaman.

Sidi berkata, bidang yang diceburi kini jauh berbeza dengan lakonan kerana menerusi perniagaan itu beliau dapat merapati golongan petani dan peladang. "Syarikat ini bukan saja mengilang dan mengeluarkan baja, tetapi turut memasarkan dan turun padang mengajar petani cara penggunaan dan mengadakan pemantauan.

Kajian dan penyelidikan secara berterusan dijalankan bagi memastikan hasil tanaman meningkat, Bagi memastikan penyelidikan yang berterusan yang sekali gus dapat menghasilkan produk bermutu tinggi, Diversatech yang berpegang kepada slogan 'Kami Membantu Petani Menyediakan makanan Dunia', kini mempunyai 75 kakitangan termasuk tujuh ahli sains dari dalam dan luar negara dalam bidang berkenaan.

Sidi berkata, syarikatnya banyak mendapat sokongan daripada agensi agensi di bawah Kementerian Pertanian seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Mardi dalam usaha memasarkan produk syarikat itu.

Malah, katanya, produk keluaran syarikat itu turut memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya Anugerah Reka Cipta dan Inovasi anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar bagi produk Vita Grow pada 2001, Anugerah Reka Cipta dan Inovasi UPM serta Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa Geneva bagi produk Zappa pada 2002.








8:36 AM

Tiga tahun RM 1 juta

Dipetik dari akhbar Kosmo online-

Bekerja hanya dari rumah dan berupaya mendapat pulangan yang besar sehingga mampu bergelar jutawan, begitulah yang dapat digambarkan tentang kerjaya seorang usahawan Internet Benarkah ia semudah yang disangka? Kepada wartawan ADHAM SHADAN dan jurufoto ZAKARIA IDRIS, jutawan Internet muda, Irfan Khairi, 32, berkongsi cerita



SEBAGAI usahawan Internet, Irfan dan komputer riba bagai tidak boleh dipisahkan.

DIA tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja setiap hari Dia juga tidak perlu bersemuka dengan pelanggan meski dia sebenarnya seorang peniaga. Perniagaannya juga begitu hebat kerana hanya dalam masa beberapa tahun mampu membuatkannya bergelar jutawan, satu gelaran yang diidami ramai.


Itulah secebis kisah mengenai seorang pemuda yang baru berusia awal 30-an, Irfan Khairi yang menceburi perniagaan Internet Menurut Irfan, dia memerlukan tempoh tiga tahun sahaja untuk bergelar jutawan. Percaya atau tidak, dia hakikatnya meraih gelaran tersebut ketika berusia 25 tahun, iaitu kira-kira tujuh tahun lalu.


Dia sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa Internet bukan sekadar wahana untuk mengaut informasi atau saluran untuk berhibur, tetapi juga medan untuk 'membuat duit'.
Bukan 'membuat duit' seperti terlibat dengan skim cepat kaya atau pelaburan yang tidak sah, ia sebaliknya satu perniagaan yang sama seperti perniagaan lain, menjual barangan atau perkhidmatan Bezanya, ia menerusi perantaraan Internet.


Mula melangsungkan perniagaan Internet pada tahun 1999 ketika masih menuntut di Universiti Staffordshire, Britain dalam bidang reka bentuk multimedia, Irfan Khairi mengusahakan perkhidmatan mereka bentuk kulit buku, laman web, logo, banner dan produk seperti buku dan peta Malaysia.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan Internet, saya berjaya meraih RM1 juta menerusinya sahaja," kata Irfan, 32, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini


Irfan mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat terkenal di Britain setelah melihat dia mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik menerusi perniagaan Internet


"Sebenarnya, ketika memulakannya lagi saya sudah yakin yang cara ini akan berjaya. Semakin mengujakan apabila saya lihat tempahan datang dari merata tempat di dunia. Misalnya dari Amerika Syarikat, Jepun dan Australia," kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.


Tambahnya lagi, kini dia, komputer dan Internet ibarat tidak boleh dipisahkan. Dalam milikannya sahaja, ada lima buah komputer.
Bunyi kerjanya seakan mudah. Sebahagian besar masa di rumah dan hanya menghadap komputer untuk mengakses Internet. Adakah ia sesenang yang disangka?
Irfan menegaskan: "Saya bekerja keras untuk dapatkan ini. Bukan goyang kaki sahaja."


Ceritanya, dia bekerja dari pagi sampai ke malam dan dari Isnin sampai Ahad. Selain itu, dalam tempoh tiga tahun itu terutamanya, dia selalunya cuma tidur tiga hingga empat jam, selebih masanya bersengkang mata di hadapan komputer menyiapkan tempahan-tempahan grafik dan sebagainya.
"Malahan, pada tahun pertama saya memulakannya, saya sekadar dapat tiga orang pelanggan! Tapi saya tidak berputus asa dan memperbanyakkan membaca buku mengenai perniagaan Internet dan menghadiri ceramah-ceramah berkenaan perniagaan Internet.


"Hasilnya, mulai tahun kedua saya mampu mendapatkan RM2,000 ke atas sehari."
Pengalamannya itu sendiri boleh menjadi ukuran akan potensi perniagaan Internet pada masa ini.
"Bayangkan, yang saya boleh dapat RM2,000 sehari itu ketika perniagaan melalui Internet belum berkembang. Pada masa itu, pengguna Internet hanya 500 juta orang.
IRFAN turut berkongsi rahsia kejayaan dengan menulis buku.

"Tetapi kini pengguna Internet adalah 1.3 bilion dan sudah tentu perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang besar buat pengusahanya.
"Lagi pula, sekarang perniagaan atau urusan juga sudah semakin sebati dengan Internet. Bayar saman pun sudah boleh secara dalam talian," katanya sekali gus berbicara soal potensi perniagaan Internet.
Pada masa ini, Irfan mempunyai lima buah laman web antaranya rahsiainternetcom, ideabubble.com dan slash.com.my.


Jelas Irfan lagi, kelebihan perniagaan Internet adalah dari segi bekerja di rumah dan kos yang rendah.
"Kalau kita meniaga di kedai, paling kurang hendak kena bayar sewa tapak, mungkin RM1,000 sebulan. Namun untuk perniagaan Internet anda cuma perlu memperuntukkan RM15 sebulan untuk sewa letak laman web atau web hosting. Selebihnya mungkin bayaran penggunaan Internet, telefon dan elektrik.
"Masa di rumah juga lebih banyak, dan dapat meluangkan lebih masa dengan keluaSaya pun tidak ada orang gaji," kata lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata ini.


Menyentuh sedikit tentang personalitinya, apa yang boleh dikatakan, dia nampak begitu bersederhana. Pendek kata, gelaran jutawan tidak mengubah dirinya dan dia masih seperti dulu.
Dia selesa berbaju T ketika ditemui tempoh hari dan kenderaan mewah seperti BMW atau Mercedes bukan dalam senarai milikannya


"Mahu kaya bukan kerana mata duitan. Tetapi kerana ia mampu membantu kita dalam kehidupan. Contohnya, membantu kita untuk mendapatkan rawatan yang terbaik bila sakit dan membantu kita mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak," katanya.

Apa pun, sesuatu itu tidak mungkin bisa terjadi tanpa minat yang mendalam dan dorongan motivasi yang ampuh. Irfan telah menanam dalam diri untuk menjadi jutawan pada usia 30 tahun ketika berumur 18 tahun lagi.
Dia banyak menghabiskan masa membaca buku-buku motivasi sejak usia remaja lagi. Buku seperti Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill adalah antara buku yang telah memberinya inspirasi.
Penglibatannya dalam perniagaan Internet juga banyak disumbangkan oleh minatnya menjadi ahli perniagaan yang terpupuk sejak mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Lukisan serta seni reka pula sememangnya telah menjadi kegemarannya sejak kecil lagi dan semakin bercambah apabila melanjutkan pengajian multimedia di Britain.

"Misi saya kini ialah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar mereka dapat mencari kekuatan diri sendiri dan menggunakannya untuk membuat duit," katanya yang telah menulis beberapa buku, mengadakan ceramah perniagaan Internet, mempunyai program di radio dan televisyen.
"Berniaga sememangnya kunci untuk menjadi kaya dan dianggarkan 74 peratus jutawan dunia datang daripada bidang perniagaan Perniagaan Internet pula mempunyai potensi yang amat besar untuk berjaya.


"Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita meyakinkan khalayak tentang produk dan perkhidmatan kita kerana kita tidak bersemuka dengan mereka dan mereka tidak boleh memegang atau merasa produk kita. Mereka hanya boleh melihat fotonya di monitor komputer," ujarnya.



12:29 AM

Hafizah usahawan berjaya

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
Bekas pekerja bank kini miliki kilang sarung tangan pakai buang, sedia peluang kerja kepada penduduk setempat





LAWATAN: Zainal (tengah) melihat operasi membuat sarung tangan di kilang milik Hafizah (kiri) dalam lawatannya ke Kampung Sungai Chenaam, Sungai Setar Kecil, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi terutama sektor pembuatan yang menjadi penggerak utama dalam pertumbuhan ekonomi negara. Ini kerana, PKS boleh dijadikan sebagai tulang belakang dan pendukung dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020.

Secara umumnya, PKS membuka banyak peluang pekerjaan, membantu melahirkan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja baik di peringkat pekerja mahupun peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing. Oleh itu, tidak hairanlah ada individu yang sanggup melabur untuk menceburi bidang PKS kerana menyedari peluang dan keuntungan yang mampu diraih. Selain bertujuan mendapatkan keuntungan, PKS adalah industri yang menyedia peluang pekerjaan terutama penduduk setempat, lebih-lebih lagi jika tapak pengeluarannya terletak di luar bandar.

Bagi menyahut seruan kerajaan menggalakkan PKS terutama di luar bandar, seorang wanita, Hafizah Mohd Isa, memberanikan diri membina sebuah kilang menghasilkan sarung tangan pelbagai guna pakai buang di Kampung Sungai Chenaam di sini. Kilang yang diberi nama Metro Glove Suppliers (MGS) yang ditubuhkan pada 2001 dengan modal pusingan RM100,000, selain modal membeli 100 mesin menjahit bernilai RM200,000.

Hafizah, 38, ibu kepada seorang anak perempuan, beruntung kerana mendapat sokongan dan dorongan daripada suami, Mohadzir Ahmad, untuk menceburi perusahaan yang jarang disertai Bumiputera. Pengurus berjiwa besar ini menyewa tanah milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Chenaam pada kadar RM500 sebulan untuk membolehkan kilangnya beroperasi.

Siapa sangka kilang kecil dengan 45 pekerja itu kini mampu mengeluarkan sehingga 15,000 dozen sarung tangan pelbagai guna dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM70,000 sebulan. Produk keluarannya juga menjadi pilihan kilang besar di negeri ini kerana memenuhi kehendak pasaran dengan berkonsepkan pakai buang. Buatan dan kualiti sarung tangan yang dihasilkannya juga diakui setanding dengan buatan luar negara oleh pihak industri. Lebih membanggakan lagi, kilang kecil yang terletak agak jauh dari bandar besar ini memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khasnya golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal.

"Saya cuba menyahut seruan kerajaan menggalakkan Bumiputera menyertai bidang perniagaan dan industri. Pembabitan saya dalam bidang ini mendapat sokongan daripada suami kerana beliau juga terbabit dalam industri ini. “Lebih membanggakan saya sebagai seorang wanita, kilang ini dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk di kampung ini khasnya golongan wanita," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau bersyukur kerana mendapat pekerja yang berdedikasi walaupun kebanyakannya suri rumah yang tidak memiliki kelulusan atau pendidikan yang tinggi. Hafizah sendiri tidak percaya yang beliau mampu menjadi pengurus dengan menguruskan segala urusan perniagaan, operasi kilang, mencari pasaran dan berbincang dengan pelanggan. Namun berbekalkan pengalamannya yang pernah berkhidmat dalam institusi perbankan, ia menjadi kekuatan kepada dirinya untuk meneruskan perniagaan dengan bantuan suami. “Suami sangat menyokong dan dia adalah penguat semangat saya untuk terus berdiri dalam bidang ini," katanya.



Wanita ini turut membayangkan sasaran MGS untuk meneroka pasaran sarung tangan pelbagai guna pakai buang ini ke luar negara berdasarkan permintaan yang diterima bagi pasaran domestik. Kewujudan kilang ini pernah mendapat perhatian bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman yang menganggap ia adalah contoh kejayaan Bumiputera menceburi PKS dan membantu membangunkan kawasan luar bandar. Kata Zainal, kewujudan kilang itu membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dan ia wajar dicontohi pengusaha PKS Bumiputera di negara ini. "Ia adalah contoh kejayaan usaha kerajaan melahirkan usahawan PKS dan memajukan kawasan kampung," katanya.