Assalamualaikum... wah sudah lama saya tidak update blog ini. Sudah lebih 3 bulan. Apa khabar usahawan2 dan bakal usahawan di luar sana? Ok lah hari ini saya nak kongsi dengan anda satu lagi kisah usahawan yang saya petik dari akhbar utusan online. Ia mengisahkan seorang wanita yang pada mulanya menjawat jawatan sebagai dekan di salah sebuah IPTA yang akhirnya menjadi usahawan dalam bidang motivasi.
Selamat membaca!
Oleh Roslah Othman
KEHIDUPAN yang kita lalui hanya boleh diubah jika kita boleh mengubah fikiran atau sikap kita sendiri. Apa yang menghalang kita dari melakukan perubahan dan kemajuan adalah kepercayaan yang terhad dan ketakutan yang ada di dalam diri kita sendiri.
Begitulah antara mesej Pengarah Urusan Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd., Shahreen Kamaluddin yang dapat penulis titip pada pertemuan dengan beliau di pejabatnya di Desa Sri Hartamas, Selangor, baru-baru ini.
Sepanjang perbualan hampir dua jam bersama wanita berkulit kuning langsat ini, tidak terasa begitu pantasnya masa berlalu.
Masakan tidak kerana apa yang dibualkan penuh dengan kata-kata perangsang dan motivasi sekali gus membenarkan kata-katanya: "Motivasi diri itu penting jika seseorang itu inginkan kesempurnaan."
Kata-kata perangsang itu bertujuan memberi iktibar kepada individu lain bahawa untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan adalah dengan membina sikap positif di dalam diri.
Bukan bermaksud menunjukkan pandai, namun apa yang dinyatakan itu berdasarkan kepada pengalaman beliau sendiri yang pernah melalui pahit manis sebelum berada pada tahap sekarang.
Berbekalkan keyakinan dan kesungguhan sehingga mampu melakukan sesuatu atas keupayaan yang diperoleh, mungkin beliau sudah boleh menarik nafas lega.
Beliau yang pada awalnya memulakan perniagaan dalam bidang perhubungan awam sekitar pertengahan 80-an itu, mula mengembangkan perniagaan kepada bidang motivasi.
Sambil mengakui apa yang dicapai hari ini dipengaruhi dengan sikap positif dan kepercayaan dirinya yang disifatkan sebagai law of attraction tidak menafikan dengan memahami siapa diri kita yang sebenar ia adalah kunci untuk mengubah hidup seseorang.
Beliau berkata, fikiran dan kepercayaan lama seseorang hanya akan mewujudkan pengalaman sekarang, sementara fikiran seseorang sekarang akan mencipta masa depan.
"Hidup kita sebenarnya dicipta oleh tiga perkara iaitu fikiran, kepercayaan dan sikap kita sendiri, dialog dengan diri sendiri dan keputusan yang kita ambil setiap hari.
"Jika kita bertukar fikiran, percakapan dan sikap pada hari ini, kita boleh menukar hidup kita,'' ujarnya sambil menegaskan kejayaan sering datang kepada individu yang mempunyai kesedaran positif, manakala kegagalan datang kepada mereka yang mempunyai kesedaran sebaliknya.
Shareen mengakui dalam memahami bagaimana beliau berfungsi sebagai manusia, ketika itulah beliau sedar betapa hebatnya ciptaan Allah Taala.
"Dia menjadikan kita sempurna dan berkuasa. Salah satu anugerah paling hebat yang diberikan-Nya ialah kebebasan untuk kita memilih apa yang diinginkan. Saya amat kagum dengan kuasa 'fikiran','' ujarnya lagi sambil mengakui pengalaman lalu banyak membentuk dirinya menjadi lebih baik.
Antara pengalaman yang hampir mematahkan semangat Shahreen apabila beliau diberhentikan kerja sebagai Pengurus Perhubungan Awam (PRO) Kumpulan di Malaysian Mining Corporation pada 1986, akibat kesan inflasi yang melanda negara ketika itu.
Bagaimanapun pengalaman itu dijadikan pemangkin untuknya terus bangkit sehingga berjaya menubuhkan syarikat perundingan perhubungan awam dan perunding motivasi miliknya sendiri.
Memulakan operasi secara kecil-kecilan, menjadikan wanita ini lebih tabah dalam usaha berhadapan dengan pelanggan terutama melibatkan syarikat besar.
Kesedaran
Pada awal penubuhan Shahreen Corporate Communications, beliau hanya berbekalkan harapan dan sokongan daripada majikan lamanya ketika itu.
Bermula dari situ, beliau mendapat kepercayaan daripada syarikat besar termasuk Maybank sekitar pertengahan 80-an.
Berbekalkan pengalaman dan pendidikan secara teori yang diperoleh, beliau yang juga lulusan Diploma Pendidikan Teaching English Second Language (TESL) dari Universiti Malaya bagaimanapun menganggap semuanya itu sebagai satu cabaran.
Ibu tiga anak ini juga adalah seorang tokoh akademik dan pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Sekolah Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menjadi Pengurus Kumpulan Perhubungan Awam di Shell.
"Sudah pasti ketika itu saya rasa sedikit tertekan. Selepas berjaya menjawat jawatan tinggi hasil kerja keras selama ini, akhirnya saya terpaksa melepaskannya begitu saja. Namun ketika itu saya tidak yakin boleh melakukannya.
"Mana mungkin saya membuka perniagaan sendiri? Apa yang tergambar pada fikiran hanyalah mencari pekerjaan di syarikat lain saja,'' imbas Shahreen yang sebelum ini tidak langsung berminat dalam dunia perniagaan.
Bermula dari situ, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dengan mempelbagaikan lagi cabang perniagaan termasuk mula memberi perhatian kepada usaha memotivasikan masyarakat terutama di kalangan kakitangan di sektor awam dan swasta.
Dengan penubuhan Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd., banyak program motivasi telah dianjurkan.
Beliau yang juga bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif di pusat motivasi itu mengakui banyak maklum balas yang diterima mengenai usaha yang dijalankan. Pemerhatian awal mendapati, keadaan itu disebabkan kurangnya keyakinan dalam diri seseorang.
Berdasarkan pengalaman itulah juga, Shahreen mendapat dorongan untuk menulis buku motivasinya yang pertama, You Are What You Believe. Buku itu diterbitkan pada 1992 dan mencatatkan jualan terbaik. Berikutan sambutan menggalakkan itu juga turut mendorong beliau menulis buku kedua, Know Yourself-The Truth Will Set You Free. Buku ketiganya, Now is All You've Got bakal menyusul tidak lama lagi.
"Setiap kejayaan sebenarnya bergantung kepada kesedaran dalam diri bahawa setiap daripada kita mempunyai bakat dan kebolehan sendiri.
"Tiada sesiapapun yang boleh merampas kemahiran itu dan paling penting sikap percaya kepada diri sendiri dan tidak harus bergantung kepada orang lain,'' tegasnya.
Melihat wanita ini yang masih cantik dan bertenaga, pasti sesiapapun tidak percaya usianya kini sudah mencecah 62 tahun.
Mencungkil rahsia kejelitaannya, anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik ini mengakui, ia banyak dipengaruhi sikap dan pemikiran positif yang dipraktikkan selama ini.
"Kebahagiaan dan kesihatan yang baik hanya muncul jika kita sentiasa memikirkan perkara-perkara dengan positif. Usia bukan satu penghalang kepada saya untuk melakukan sesuatu sama seperti orang lain,'' ujarnya sambil mengakui memang benar seseorang itu tidak boleh mengawal apa yang akan berlaku tetapi paling penting bagaimana seseorang itu bertindak balas terhadap apa juga perkara yang dihadapi.
Bagi menguasai semua kebolehan ini, seseorang itu katanya perlu mengenali diri sendiri dan menyedari bahagian kitalah yang menentukan corak kehidupan yang diinginkan, sama ada baik atau buruk.
Malah beliau juga percaya setiap yang berlaku dalam hidup seseorang itu juga bergantung kepada kualiti dan tahap pemikiran masing-masing.
0 comments:
Post a Comment