SEBAGAI seorang saintis yang mengkaji kehidupan flora dan fauna menjadi titik tolak kepada Mohd. Zalalnudin Latipi, 31, membuka sebuah kedai menjual spesies ikan terancam kelisa atau juga dikenali sebagai arowana. Demi minatnya yang berputik sejak kecil Mohd. Zalalnudin nekad meninggalkan jawatannya sebagai seorang saintis. Minatnya kian bercambah apabila beliau berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sosiologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah. Ikan kelisa kepada Mohd. Zalalnudin bukan sekadar ikan hiasan malah kepada mereka yang tahu menilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan. Harganya mampu mencecah ribuan ribu ringgit selain ia digemari oleh kaum Cina di negara ini yang dipercayai membawa tuah kepada pemiliknya. Namun Mohd. Zalalnudin tidak menyangka hobinya yang suka memelihara ikan itu mampu memberikannya sumber pendapatan tetap kepadanya. "Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini. "Namun pada tahun 2005 saya mengambil keputusan untuk berhenti sebagai seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya. Mohd. Zalalnudin tidak menyangka, kedai yang baru dibukanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah ikan kelisa juga mendapat permintaan daripada orang Melayu. "Selain orang Cina, orang Melayu juga menunjukkan minat terhadap ikan ini dan sanggup membelinya walaupun pada harga yang mahal. "Mereka yang datang ke kedai ini sanggup menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mahu melihat kecantikan dan kelicikan ikan kelisa," katanya. Menyentuh penjagaan ikan kelisa, beliau memberitahu, tidak susah untuk membelanya tetapi perlu memastikan air yang digunakan dicampurkan dengan ubat antiklorin. "Antiklorin perlu dicampurkan mengikut sukatan yang ditetapkan selain memberi makanan kepada ikan mengikut waktu. "Ikan ini kebiasaannya makan sejenis ulat yang banyak dijual di pasaran. Lipas dan cengkerik juga boleh diberi tapi lebih baik beli sahaja di pasaran kerana ditakuti serangga ini membawa racun dan mati jika memakannya," katanya. Jelasnya, bagi memenuhi permintaan ikan kelisa di kedainya itu, beliau telah membeli dua buah kolam ikan kelisa di Bukit Merah, Perak. "Kebanyakan ikan-ikan yang ada di kedai di bawa dari sana dan kita akan pilih ikan-ikan terbaik sebelum dipamerkan di kedai bagi menarik minat orang ramai," katanya. Di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya. Lebih istimewa, harga ikan kelisa semakin meningkat jika ikan itu kian membesar. "Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya. "Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan kelisa mereka boleh datang terus ke kedai saya," katanya. Bagi mereka yang ingin melihat ikan-ikan yang dijual di kedai Mohd. Zalalnudin, kedainya itu terletak di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak, Alor Setar.Oleh SHAH NIZAM OMAR
Memaparkan kisah usahawan-usahawan khususnya dari Malaysia yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan dalam bidang PKS, bengkel, produk makanan, internet dan sebagainya.
Kategori
- Lagu Motivasi (1)
- Usahawan Internet (3)
- Usahawan Motivasi (2)
- Usahawan Pengangkutan (2)
- Usahawan Perubatan (1)
- Usahawan PKS (4)
- Usahawan Tani (3)
Blog Archive
Penaja::
Labels: Usahawan Tani
JURIFAH menerima anugerah Usahawan Jaya daripada Mohd. Johari (kanan) pada Seminar Usahawan Industri Asas Tani 2010 di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai sebuah bank di ibu negara, Jurifah Kadis, 43, sangat meminati baulu gulung namun agak sukar baginya memperoleh kuih tradisional itu di pasaran.
Kesukaran itu akhirnya mendatangkan idea kepadanya untuk mempelajari cara-cara membuat baulu hingga mendorongnya menjalankan perniagaan dengan jenama 'Baulu Classiq' dengan modal permulaan sebanyak RM15,000.
Dia kemudian mengambil keputusan berhenti kerja makan gaji dan menjalankan perniagaan itu secara sepenuh masa.
Dalam tempoh 10 tahun, Jurifah tidak menyangka perniagaan hasil titik peluhnya itu mendatangkan pulangan lumayan dan kepayahan tersebut dibalas apabila dinobatkan sebagai pemenang utama pada Pertandingan Usahawan Jaya 2009/2010 (Kategori RM250,000).
Dia menerima wang tunai RM3,000, trofi kristal dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum pada Seminar Usahawan Industri Asas Tani 2010 di sini semalam.
"Dalam menjana perniagaan, saya juga berbesar hati kerana AgroBank (dulu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia) banyak memberi laluan mudah kepada saya untuk membuat pinjaman.
"Pada masa sama, dalam tempoh sebulan sahaja, saya berjaya mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," kata Jurifah yang menekankan bahawa memperoleh sijil halal adalah penting bagi meyakinkan para pengguna.
Labels: Usahawan PKS
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
www.kosmo.com.my
BIDANG perniagaan dalam talian atau e-dagang semakin popular dalam kalangan usahawan hari ini. Ia menjadi medium terbaru membolehkan mereka meningkatkan penjualan dengan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan laman web, blog atau rangkaian sosial Facebook untuk menceburi bidang perniagaan secara sambilan adalah satu idea kreatif kerana tidak memerlukan modal yang besar dan menjimatkan masa.
Tidak mustahil dengan menggunakan pendekatan terbaru itu dan strategi perniagaan yang mantap, ia mampu memberi impak, malah dapat membawa pulangan lumayan kepada usahawan dan individu terbabit.
Bagaimanapun, menjalankan perniagaan dalam talian memerlukan pengetahuan dari segi teknikal untuk memastikan kelancaran transaksi urus niaga dapat dilakukan dengan sempurna.
Kesukaran memahirkan diri dari segi teknikal sedikit sebanyak menjadi antara faktor impian bergelar usahawan menerusi e-dagang hanya omong kosong sahaja.
Namun begitu, impian tersebut bakal menjadi realiti apabila menggunakan aplikasi sistem kedai dalam talian keluaran syarikat tempatan, Flarebiz Network yang diberi nama Niagakit.
Flarebiz Network yang diasaskan oleh dua usahawan muda Internet, Adly Mukhtar, 20 dan Mohd. Zhafran Mohd Ghani, 24, pada awal tahun 2007 mengambil masa selama hampir satu tahun untuk membangunkan aplikasi Niagakit tersebut.
Adly berkata, dia dan Mohd. Zhafran telah membangunkan aplikasi berkenaan bersama seorang lagi rakan mereka iaitu Rusdy Ahmad pada awal tahun lalu.
FLAREBIZ Network ditubuhkan pada tahun 2007 ditunjangi oleh anak-anak muda tempatan.
"Kami mengambil masa kira-kira satu tahun untuk membangunkan aplikasi berkenaan bagi memenuhi kehendak dan memudahkan pengguna yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan.
"Idea untuk membangunkan aplikasi berkenaan tercetus apabila semasa pembabitan awal dalam perniagaan dalam talian kami terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sehingga menyukarkan kami membuat urus niaga dengan pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Adly merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Komputer, Universiti Malaysia Perlis menambah, dia merasakan aplikasi berkenaan perlu dibangunkan untuk membantu bakal-bakal usahawan dalam talian.
Kata anak kelahiran Kelantan itu, dia yang mempunyai latarbelakang teknologi maklumat juga berdepan dengan masalah, inikan pula mereka tidak berpengalaman dalam bidang teknologi.
Aplikasi lebih mudah
Menyentuh mengenai keunikan aplikasi Niagakit, Adly berkata, ia tidak memerlukan seseorang mahir dari segi teknikal untuk menjalankan operasi perniagaan dalam talian.
"Dengan menggunakan Niagakit segala urus niaga menjadi mudah dan ringkas. Pelanggan-pelanggan boleh melakukan semuanya sendiri bermula dari menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah.
"Kini usahawan-usahawan perniagaan dalam talian tidak perlu lagi membazir masa dan modal untuk memilih sistem kedai dalam talian yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan," ujarnya lagi.
Selain itu katanya, aplikasi berkenaan memberi kebebasan kepada pelanggan-pelanggan untuk menambah seberapa banyak produk yang diinginkan mereka.
Ujarnya, tiada sebarang had dikenakan untuk penambahan produk di dalam aplikasi Niagakit menjadikannya satu produk yang sesuai digunakan oleh semua orang termasuk pengilang, pengedar dan sebagainya.
Mohd. Zhafran pula menambah, ciri-ciri lain ditawarkan oleh aplikasi Niagakit termasuklah antara muka yang mempunyai reka bentuk ringkas, kemas dan profesional memudahkan usahawan serta pelanggan menggunakannya.
"Masalah yang kerap kali dihadapi usahawan Internet adalah sukar mencari sistem kedai dalam talian yang mempunyai sistem pembayaran khas untuk bank tempatan.
"Dengan menggunakan NiagaKit, kami mengutamakan pembayaran melalui bank tempatan kerana orang Malaysia lebih suka membeli-belah di Internet melalui MayBank2u, CIMB Clicks dan sebagainya," ujar Mohd. Zhafran.
Graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak itu menambah, antara ciri-ciri lain yang terdapat dalam Niagakit adalah bukti pembayaran melalui bank tempatan, pelbagai pilihan bahasa, variasi warna, penetapan kos penghantaran fleksibel dan banyak lagi.
Katanya, keistimewaan lain Niagakit juga adalah ia membolehkan pelanggan memaklumkan kepada rakan-rakan mereka melalui laman sosial seperti Facebook, Digg atau Myspace.
"Kami turut menyediakan seminar kepada pelanggan-pelanggan yang membeli Niagakit ini. Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan selepas pembelian jika menghadapi kesukaran mengendalikan aplikasi tersebut.
"Sehingga kini, kami telah mempunyai kira-kira 180 pelanggan yang menggunakan aplikasi Niagakit ini untuk membantu perniagaan mereka," ujarnya lagi.
Tambah Mohd. Zhafran, aplikasi Niagakit itu tidak memerlukan perbelanjaan yang besar kerana pelanggan hanya membayar sekali sahaja berbanding dengan sistem lain di pasaran.
Katanya lagi, sistem tersebut juga tidak memerlukan masa yang lama untuk beroperasi sepenuhnya dengan mengambil masa antara dua hingga satu minggu bergantung kepada reka bentuk antara muka dipilih pelanggan.
Dipuji pelanggan
Sementara itu, seorang pelanggan yang telah menggunakan aplikasi berkenaan, Mohd. Ghufran Mohd. Daud, 26, berkata, Niagakit amat mudah digunakan dan mesra pelanggan.
"Saya pernah menggunakan sistem perniagaan dalam talian lain sebelum ini dan ia agak merumitkan kerana kadangkala tidak berfungsi dengan baik.
ADLY merupakan usahawan muda Internet yang sentiasa mencari idea baru dalam e-dagang.
"Dengan Niagakit memang semua ciri-ciri penting untuk pasaran tempatan dan antarabangsa lengkap disediakan," kata pemilik kedai dalam talian www.3gxModem.com itu.
Pemilik kedai dalam talian www.OneDroperfumes.info, Siti Jamliah berkata, dia baru menggunakan Niagakit selama beberapa bulan dan perniagaannya semakin meningkat maju.
"Saya sangat berpuas hati sepanjang menggunakan sistem Niagakit ini kerana ia mudah diuruskan dan membantu pelanggan membuat tempahan produk dengan lancar.
"Pasukan sokongan sistem ini juga akan memberi maklum balas yang pantas apabila tidak memahami operasi Niagakit. Ia juga memberikan kedai dalam talian saya kelihatan kemas dan profesional," ujarnya.
Sistem aplikasi Niagakit dijual pada harga RM1,249.
Labels: Usahawan Internet