Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
Umi Kalsom tidak putus asa walaupun pernah kerugian puluhan ribu ringgit
BELIAU dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin di Kampung Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.
Namun, kemiskinan itu banyak mengajar Umi Kalsom Tulos, 44 mengenai erti kehidupan sebenar. Kesusahan juga menjadi pembakar semangat kepada anak sulung daripada tiga beradik ini untuk bekerja keras bagi mengubah nasib keluarga.
Selepas mendirikan rumah tangga, kehidupannya masih juga tidak berubah dengan terus dihimpit masalah kesulitan wang. Disebabkan hanya bersekolah hingga tingkatan lima, maka peluang mengubah kehidupan keluarga hanyalah dengan berniaga.
Justeru, Umi Kalsom nekad berniaga kecil-kecilan sebagai penjual produk kesihatan dan kecantikan di sekitar Sekinchan tanpa pengetahuan suami dengan membawa kedua-dua anaknya.
Ketika itu, mahu mendaftar yuran pendaftaran sebagai ejen sebanyak RM20 pun saya tidak ada. Tapi saya bernasib baik kerana penaja produk itu mendahulukan bayarannya.
Ketika berniaga, saya akan meletakkan anak saya dalam raga basikal dan seorang lagi di belakang. Jika bertembung dengan kawan sekolah, saya akan bersembunyi kerana malu.
Namun lama kelamaan saya pun berfikir, kenapa saya perlu melarikan diri sedangkan apa yang saya lakukan adalah untuk mengubah nasib keluarga,� katanya yang kini adalah Pengarah Urusan Nurmie Marketing Sdn Bhd.
Nurmie Marketing Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2005 adalah pengeluar dan pengedar produk makanan serta minuman seperti kordial buah-buahan, makanan industri desa serta minuman kesihatan.
Umi Kalsom berkata, pengalaman sebagai ejen jualan langsung banyak memberi kekuatan dan keyakinan. Apa yang penting ialah bagaimana jurujual itu membawa dirinya.
Katanya, ini kerana pelanggan akan melihat keyakinan diri dan penyampaian jurujual itu terlebih dulu sebelum meyakini produk yang dijual.
Selama bekerja dengan syarikat jualan langsung, saya dibawa melawat lebih 20 negara. Saya juga belajar bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa itu.
Saya mendapat jualan dan bonus yang tinggi dari syarikat jualan langsung berkenaan memandangkan saya berjaya membina rangkaian penjual yang ramai di bawah saya,� katanya.
Pada 1998, beliau menyertai kursus Latihan Pembentukan Usahawan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sewaktu kegawatan ekonomi itu beliau menubuhkan Nurmie Enterprise, gabungan nama kedua-dua anaknya, dengan modal RM50,000.
Ketika itu, katanya, beliau membeli formula minuman kordial daripada seorang pengusaha yang mahu menutup perniagaannya pada RM25,000.
Pengusaha itu mengajar saya cara membancuh sembilan jenis kordial. Malangnya, tindakan itu menyebabkan minuman dalam botol meletup.
Ketika itu, kilang sudah memproses lebih 90,000 botol kordial selain bagi memenuhi tempahan daripada pelanggan.
Saya kerugian berpuluh ribu ringgit. Malah pengusaha kordial berkenaan juga menghilangkan diri,� katanya sambil menambah beberapa syarikat lain juga tidak menjelaskan bayaran tempahan yang dianggarkan lebih RM1 juta.
Langit tidak selalunya cerah. Pada 2001, beliau terpaksa menutup operasi perniagaannya sebelum bangkit semula pada 2005.
Selepas mengerjakan umrah bersama keluarga, beliau tekad membangunkan semula perniagaan. Tanpa diduga rezekinya datang mencurah apabila mendapat permintaan produk yang tinggi daripada pasar raya besar dan agensi kerajaan.
Kini, Nurmie Marketing mengeluar dan memasarkan lebih 20 jenis biskut serta makanan ringan, kordial minuman dan kopi kesihatan untuk pasaran tempatan selain dieksport ke Singapura, Brunei dan Indonesia.
Semua produk diproses dan dikeluarkan menerusi tiga kilang miliknya di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam yang dibeli pada harga lebih RM1 juta.
Umi Kalsom turut dianugerahkan Usahawan Industri Desa Harapan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sempena Malam Anugerah Usahawan Industri Desa 2007, baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Peruncitan, Pemborongan dan Francais Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor, berkata untuk menjadi seorang usahawan memerlukan minat mendalam, kemahiran dan keikhlasan serta berpegang teguh kepada prinsip tidak mudah mengalah dalam apa juga keadaan menimpa sekalipun.
NURMIE Marketing Sdn Bhd merancang memperluaskan eksportnya dengan meneroka pasaran negara di Asia Barat, Afrika Selatan, Vietnam dan Kanada menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Umi Kalsom Tulos berkata, produk syarikat itu kini sudah menembusi pasaran Indonesia, Brunei dan Singapura yang menyumbang kira-kira 15 peratus kepada pendapatan syarikat berkenaan.
Katanya, beliau yakin sumbangan pasaran eksport kepada pendapatan Numie Marketing mampu meningkat kepada 30 peratus apabila ia mula mengeksport produk utamanya, seperti kordial dan makanan desa ke negara sasaran.
Ketika ini, kami mengeluarkan lebih 100,000 produk makanan dan minuman untuk pasaran tempatan dan antarabangsa berdasarkan permintaan pelanggan dan yakin ia meningkat sehingga 500,000 menjelang akhir tahun ini,� katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.
Umi Kalsom berkata, syarikat itu mensasar meningkat jualannya lebih sekali ganda kepada kira-kira RM5 juta tahun ini berbanding RM2 juta tahun lalu menerusi permintaan eksport serta tempahan biskut raya sempena Aidilfitri ini.
Katanya, syarikat memperuntukkan kira-kira lima peratus daripada pendapatannya setiap tahun bagi melaksanakan aktiviti pengiklanan dan promosi khususnya menjelang musim perayaan.
Malah, kami juga akan meningkatkan rangkaian ejen Nurmie di sekitar Lembah Klang dari 100 sekarang kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini dengan disokong oleh 500 ejen di seluruh negara,� katanya.
INFO