Gelaran artis tidak pernah menjadi jalan mudah untuknya berjaya. Bertatih daripada bawah, Sani Ekspres kini semakin dihormati.
WAN MOHD. SANI bercita-cita mahu menjadi seorang usahawan dan ahli korporat yang disegani.
SANI Ekspres mungkin asing bagi sebahagian penduduk di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Namun, di Pantai Timur, syarikat tersebut kini merupakan antara syarikat bas yang menjadi pilihan penumpang kerana perkhidmatan dan keselesaan yang ditawarkan.
Sani Ekspres kini berbangga apabila mampu berdiri sebaris dengan beberapa syarikat bas ekspres gergasi lain seperti Konsortium Mutiara dan Transnasional yang telah menguasai sebahagian besar pasaran di Pantai Timur terutamanya.
Kejayaan syarikat tersebut yang semakin menambat hati penumpang adalah hasil gigih seorang lelaki yang suatu ketika dulu cukup dikenali ramai.
Pernah bergelar pelakon dan penyanyi, tetapi lelaki ini akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan dunia glamor. Membuang jauh mikrofon atau kamera, lelaki ini mendekati stereng bas ekspres.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wan Mohd. Sani atau lebih dikenali sebagai Sani, memberitahu, keputusannya meninggalkan dunia hiburan tidak pernah disesali.
Baginya, itu merupakan titik perubahan dalam hidupnya menjadi salah seorang usahawan dan ahli korporat yang semakin disegani ramai seterusnya menggapai impian menjadi tokoh korporat.
Sani yang sejak sekian lama menghilangkan diri daripada bidang seni, akhirnya muncul mempertaruhkan keberaniannya untuk berniaga.
Memulakan operasi pada Januari 2006 dengan hanya menggunakan enam buah bas, Sani Ekspres mula memasuki pasaran Pantai Timur untuk laluan Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu sahaja.
"Saya selalu menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebelum ini untuk pulang ke kampung halaman saya di Terengganu.
"Daripada situ saya melihat, sistem pengangkutan bas ekspres di negeri tersebut tidak sempurna menyebabkan saya berazam untuk mengubah imej tersebut," katanya.
Tambah Sani, di Sani Ekspres perkhidmatan yang diberikan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. "Kami mahu penumpang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan," katanya.
Lantaran itulah, belum pun setahun usia perkhidmatan Sani Ekspres di Kuala Terengganu, mereka terus mengorak langkah dengan menambah laluan di antara Kota Bharu-Kuala Lumpur pada penghujung tahun 2006.
Percubaan tersebut dilihat sebagai suatu usaha yang berani kerana beberapa syarikat gergasi bas ekspres berpengkalan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
"Pada mulanya kami juga risau dengan saingan yang sangat kuat tapi kita yakin perkhidmatan yang kita berikan mampu menandingi syarikat-syarikat lain.
"Kini bas kami antara yang menjadi pilihan di Kelantan. Bukan sahaja pada hujung minggu, malah pada hari biasa pun tiket kami sold out," ujarnya.
Namun, kata Sani, perjalanannya tidaklah semudah yang disangkakan. mengapa?
Usahanya hampir berkubur pada awal penubuhan Sani United Sdn. Bhd. (SUSB) apabila dua rakan kongsinya menarik diri.
"Selepas mereka berdua menarik diri, saya terpaksa meneruskan usaha sendirian bagi memastikan impian saya sejak sekian lama.
"Cabaran untuk mendapatkan permit dan pinjaman juga hampir mematahkan usaha saya, namun berkat kesabaran dan usaha yang gigih, SUSB akhirnya berjaya sehingga ke hari ini," ujarnya.
Kini, Sani tidak lagi menoleh kebelakang. Setiap peluang yang tersedia dimanfaatkan sebaik mungkin demi merealisasikan visi syarikat menjadi sebuah syarikat bas yang berjenama dan menjadi pilihan utama pelanggan.
Terbaru, SUSB baru sahaja menandatangani kontrak pem belian 20 buah bas ekspres dua tingkat dari Sweden untuk meningkatkan perkhidmatan dan menambah laluan.
Sani Ekspres bakal melancarkan perkhidmatannya di laluan ke utara dengan melancarkan perjalanan dari Kuala Lumpur-Alor Star dan Alor Star-Kuala Lumpur pada tahun ini.
"Ada yang kata kami kena beringat-ingat kerana biasanya kalau cepat naik, mungkin akan cepat jatuh tapi bagi saya selagi kita pegang prinsip bekerja dengan betul kita pasti akan berjaya," ujarnya. - KHAIRI MOHAMAD